23 April 2012

Aku Hidup untuk Ini- Siri Almi 1#

Hari yang ini sama seperti hari- hari yang lainnya. Embun masih menggigit kulit separa keriputnya tatkala matahari menjenguk kurang lebih dari titik yang sama. Paksi permulaan hari penduduk kampung Balung Cocos juga lebih kurang sama sehari- hari. Seawal pukul 5 pagi sudah mula mengheret tubuh untuk digagah menyambut tibanya pagi. Ketika ini juga kelihatan Kojek berjalan laju dengan topi keselamatan kuning dan jeans lusuh koyak rabaknya menuju ke pondok bas di hujung jalan. Tahi matanya masih segar menempel di muka. Namun semangat wajanya untuk bekerja bukan jenis yang boleh di tahan-tahan. Kak Anong juga sudah berlenggang-lenggok dengan payung besar di tangan dan rambut yang masih basah lencun sisa mandinya di awal pagi yang sejuk itu. Laluan biasanya ialah denai kecil melintasi semak lalang yang tingginya sudah mencecah dua orang lelaki dewasa dan melalui bawah pokok terap besar Wak Jemik yang tinggi melangit tak nampak pucuknya. Denai itu mambawanya ke jalan besar tiga kali lebih cepat dari melalui jalan utama tanpa memikirkan makhluk-makhluk yang hidup sihat dalam semak setebal itu. Almi juga tidak mahu ketinggalan  dan kalah malu dengan ayam itiknya yang sedari dia mengangkat takbir Subuh tadi sudah tidak cukup tanah berkejar-kejaran. Dengan kakinya yang lumpuh sebelah tanpa selipar itu, dia menjinjit penyapu lidi kontot yang berdekil kotoran hitam menuju ke halaman belakang rumahnya. Sekilas mata tuanya yang sudah penuh selaput menutup bola mata menjeling haiwan-haiwan peliharaannya yang gemuk-gemuk di dalam kandang. Dia senyum bangga di dalam hati. Daunan semalam memang sudah licin disapu dan di bakar. Abunya juga sudah tidak berapa kelihatan kerana terlarut dengan basahnya embun. Namun Almi mengharapkan lebih banyak dedaun yang gugur hari ini untuk mengisi kebersendiriannya. Cucu-cucu yang jauh di mata, jangan diharap untuk di ajak bergelak tawa dan mangadu domba. Cucu saudaranya juga cuma bertandang agak sore setiap hari selepas sekolah dan setelah selesai rutin kerja di rumahnya untuk bercakap- cakap kosong di anjung . Bisa mati bosan juga kalau paginya tidak berbuat apa-apa. Hanya daunan kering sajalah harapannya. Kerja-kerja lain sudah tidak tertanggung oleh tulang reput Almi. Kaki tuanya kini sudah seinci dari daun koko yang baru-baru hendak menguning tapi sudah jatuh ketanah. Lalu hayunan pertama penyapu buruknya pun bermula mengikut ritma yang tak punya tempo. Alunan sapuannya membentuk garis-garis halus yang bersimpang siur di atas tanah merah yang lembap. Menjadi satu lukisan karyanya Almi dan cuma dia dan bumi yang tahu. Sapuannya diulang-ulang dan semakin melarat jauh ke belakang rumah. Beban sapuan juga bertambah, setimpal banyaknya daun yang menimbun. Almi berhenti beberapa kali untuk menyeka peluh masam yang timbul-timbul di dahi dan mengalir ke leher. Dia tahu gerak kerjanya amat perlahan. Laman belakang rumahnya yang cuma sekangkang kera itu boleh memakan masa berjam-jam untuk dibersihkan. Tapi Almi bukan seperti Kojek yang tenaganya diperlukan untuk memproses sawit di kilang . Bukan juga seperti Kak Anong yang air tangannya boleh buat cikgu-cikgu sekolah susah tidur malam. Zaman kelam kabut Almi sudah berhenti sejak lama dulu. Sejak anaknya Majid berhijrah ke Kota Kinabalu untuk bekerja, dan anak bungsunya Ida berkahwin dan beranak pinak disamping bekerja sebagai kerani di sebuah ladang swasta di Lahad Datu. Almi kini punya masa untuk melakukan semua perkara. Kalau dia memilih untuk tidak melakukan apa- apa kecuali minum kopi dan hisap rokok di anjung rumah juga tidak ada siapa-siapa yang akan marah. Ayunan penyapu Almi berhenti seketika bila dia membongkok menjenguk ke dalam kandang itik seratinya. Mata rabunnya melilau mencari kelibat telur itik di dalam kandang. Itik seratinya terkebil-kebil melihat gelagat Almi tanpa dipedulikannya. Namun harapan Almi untuk menambah koleksi telur masinnya hari itu hampa apabila tidak ada sebiji telur pun yang ada di dalam kandang itiknya. Cuma itik seratinya yang gemuk gedempol itu dengan mata yang masih terkebil- kebil. Almi sedikit hampa, namun dia pasrah dan mengerti bahawa biawak juga perlu meneruskan hidup. Almi meneruskan kerja-kerja menyapu daun keringnya dengan kelajuan yang bertenang dan mengambil masa.

..............................................................................................................................................................

Peluh Almi makin menjadi-jadi deras alirannya membuatkan baju kurung bunga-bunganya yang lusuh itu sudah basah lencun. Matahari yang tadinya malu-malu kini mula memedihkan kulit dan menyelinap di celahan pokok-pokok yang merimbun di halaman belakang rumahnya. Bau halaman belakang rumahnya kini di racuni dengan harumnya bau belacan tumis dari rumah jiran sebelahnya Wak Jemik. Almi tahu, itu pastinya bau dari masakan Kodok, anak emas Wak Jemik dari isteri keduanya Nek Anderis. Laki kodok pasti akan pulang makan tengah hari sekejap lagi. Pasti Kodok sedang kalut berlari- lari di dapur kerana sedari tadi dia sibuk mengumpat dengan bini Wak Nekik di belakang dapurnya. Almi amat faham resminya Kodok. Kadang-kadang terhibur juga hatinya yang menyapu daunan kering bersendirian dengan ketawa besar kodok yang boleh menerbangkan burung-burung di pokok. Panorama sebegitu menandakan hari sudah melarut ke tengah hari. Terdetik hati Almi untuk naik ke rumah menanak nasi untuk santapannya sendiri, namun sengaja di lambat-lambatkan. Daun-daun kering yang sudah dikumpulkannya dibakar menggunakan mancis yang diselit antara lipatan kain batiknya , tempat yang sama dia menyelit kotak rokoknya. Almi duduk di kayu berlumut berdekatan unggun api  memerhati daunan yang di sapunya sebentar tadi di telan rakus api satu persatu. Sebatang rokok dinyalakan bagi meraikan kejayaannya. Tengah hari ini, seperti beberapa tengah hari sentimental yang lainnya, Almi mengambil keputusan untuk bermalas-malas menghisap rokok dan makan biskut kering cecah kopi O di anjung rumah. Niat memasak nasi di matikan saja. Kerna sudah tak ada Alex yang mangadu lapar dan menyuruhnya masak nasi. Sudah tak ada lelaki lagi yang perlu di hidangkan nasinya di pinggan dan di cedukkkan lauknya satu persatu , juga disuakan pinggan di depan mata. Sudah tak ada lagi suara lakinya memanggil-manggil dirinya dan menyuruhnya berbuat macam-macam segala. Kini semuanya Almi sendiri. Hisap rokok sendiri. Minum kopi sendiri. Menonton perlawanan badminton lewat malam di ruang tamu  kini dia cuma sendiri. Sedang lazimnya kerja menyapu daun ini juga di teman Alex yang selalu duduk-duduk mengambil angin sambil berbual dengannya. Almi tidak perlu lagi berteriak- teriak menjawab pertanyaan Alex yang telinga sudah tuli. Tak ada lagi perkelahian rutin yang masih membawa mereka berdua tahan separuh dekad bersama. Anak- anak kampung juga sudah tidak datang bertandang untuk belajar mengaji setiap petang semenjak Alex pergi. Almi kini cuma Almi, dengan jasad tuanya, kucing-kucing lapar, kebersendirian, suara- suara kenangan yang masih kuat melantun-lantun di benaknya dan sunyi yang di telan Almi berkali-kali. Kadangkala Almi terfikir, adakah Alex tahu?

17 April 2012

Tulisan Yang Macam apa?

Seorang makhluk yang kelihatannya seperti benar- benar bingung bertanya padaku : Kenapa tulisanmu harus tulisan cinta?

Aku rasa sebab aku, kau, mereka- mereka, alam dan binatang , semua ligat jatuh, bangun, kelahi, hidup mati , gara-gara cinta. Kehancuran juga asalnya kerana terlalu cinta,. Penipuan adalah kerana pencinta yang tolol dan membabi buta. Pengkhianatan aku rasa puncanya kerana terlalu cinta. Dan Tuhan kaya dengan lautan cinta yang tak putus- putus. Juga, aku subset dari kisah-kisah mereka. Bezanya, barangkali aku jenis yang terlebih gila, taksub, tak akan mengaku dan paling lama diam semacam batu. Sebab apa yang kau rasa dari tempat yang paling dalam, bukan apa- apa. Apa yang kau zahirkan dengan perbuatan itu yang selalu melanggar limitasi. Cinta kita rahsia, aku suka pada apa yang aku suka , semustahil mana pun ia. Jadi jangan bingung susah payah. Apa kau rasa, kau simpan sendiri dan luah sipi-sipi sudah. Kau ni slow lah. Itu pun mau aku yang kasi tahu??

PS: untuk mencapai tahap jiwang yang Nirvana, kau harus pastikan mak kau tak baca blog kau. Because "It will turn you off" seriously.

Aku OK

Semua yang kau tulis di tempat paling rahsia jadi sampah dan cuma sampah,
Bila isi-isi adunan jiwa semua jadi kurang bertakhta di mana-mana pun hatimu singgah,
Ini bukan janggal, bukan kerna siapa-siapa,
Cumanya memang ada hari-hari yang langit seakan bolong,
Malam jadi terlalu gelita,
Diri jadi terlalu haiwan dalam himpunan makhluk mutasi,
Seperti hari-hari sepi sebegini yang lainnya,
Aku tunggu kasih sayang dari langit untuk esok hari yang lebih berwarna :)

4 April 2012

Hari Bosan

Hari bosan macam hari ini, moleklah kiranya diisi dengan membuat perkara-perkara kecil yang di lakukan secara bertimpa-timpa agar banyak tugasan dapat disudahkan dan kepenatan kurang menggigit.

1 April 2012

Bocor

Rupanya baldi dalam hati aku bocor. Nah.. ikut darjah kemalasan sekarang, rasa-rasa lambat lagi baru baikinya. Jadi sayang ini tak boleh simpan lama-lama. Tak ada kesan. Tidur barangkali bagus rasanya.