Menunduk
sedikit melihat ke sepatu sambil berjalan. Terasa bisa butiran pepasir yang
entah dari mana datangnya , seperti menebuk telapak kaki. Aku paling tidak suka
begitu. Terasa seperti puteri raja kebasahan hujan yang tidurnya tak lena di
atas 20 lapisan tilam dan bawahnya terdapat sebiji kacang hijau. Bayang-bayang
sendiri di jalan tar kelabu itu tidak begitu jelas. Lalu aku jeling sekilas
matahari yang hanya menjenguk aneh dibalik megha . Tidak perlu jadi pengecut
begitu. Aku tidak perlu simpati murahanmu. Mata-mata menyentuh sedarku, dan aku
paling geram di tenung begitu. Ya. Boleh ambil gambar semuanya. Aku izinkan. Kamu boleh merenung lebih lama gambar itu dan bawa pulang kerumah, jika benar
tak ada apa yang lagi penting dalam hidupmu. Kesal. Tali beg buruk Gevano itu
tergelincir dari bahu, lantaran gerakanku yang tergesa-gesa tanpa tuju. Ku
rentap pantas, biar tak hempas di bumi. Kicauan burung terasa sedikit
memekakkan telinga, dan ngauman bibir-bibir manusia bagai mencurah cuka ke hati
yang sudah bernanah. Aku seluk beg, dan cari MP3 merah muda yang dulunya punya
Cheng. Earphone terbelit-belit entah bagai mana. Bermain terus dengan isi
bagasi barangkali. Cepat-cepat aku
menghurai, biar lekas bisa disumbat ke dalam telinga yang tidak sabar lagi mahu
mematikan bunyian dunia. Alunan gitar Carlos Santana dan suara lunak Syakira
Cuma sampai ke hati sekejep-sekejap. Paling penting, Aku harus lekas–lekas
melangkah. Menuju kebersendirian. Kemeja
T hijau bergambar arnab yang sedang
meniup keluar belon-belon berbentuk hati itu sudah lencun dengan darah. Aku
tekap tangan di dada. Tapi tanganku terpelosok masuk ke dalam, tembus hingga ke
belakang. Ahh. Lukanya sudah seteruk itu? Dadaku sudah bolong! Aku butangkan cardigan, biar tak terlihat kekosongan
itu. Jiwaku sudah bolong, dan aku bakal jadi gadis paling hodoh berdada bolong.
Buah dada ku juga sudah luluh hancur. Celaka! Hati bertambah berat. Takungan
air di mata sudah tak terbendung degilnya.
Tiba-tiba
kedinginan menyergah, dan kain hitam labuh yang aku pakai terasa di tarik-tarik
dari arah sebelah kiri. Tarikan itu membuatkan aku berhenti melangkah. Dengan
hati sebal, aku toleh ke kiri dan ada Pavan disitu. Matanya sudah bergenang air
mata. Terbang rendah separas lututku dan mendongak memandang ke arah aku.
Wajahnya sungguh kasihan dan sepertinya turut berduka. Tapi aku peduli apa
dengan Pavan. Dia tidak berdada bolong. Dia tidak pernah rasa begitu tidak dimahu
seperti aku. Lagi pula, Pavan halimunan. Dia tak terlihat, cuma bisa dirasai.
Takkan bisa pernah dia terasa hodoh. Tahu apa dia ??
“Pergi saja Pavan!”,
ujarku sedikit menjerit serak kerana air mata sudah mulai gugur jadi buih-buih
berwarna-warni yang bebas ke udara.
“Jangan pergi ke
cahaya begini Suzan, jangan.” Dia menggenggam kuat kain ku, hingga aku terpaksa
berhenti lagi.
“Lepaskan Pavan!
Lepaskan!”
“Dia tidak tahu
kau beri hatimu padanya.”
“Dia tidak
pernah bertanya Pavan. Biar sekali. Tidak pernah.”
“Barangkali dia
cuma tidak tahu bagaimana. Kau seorang yang kusut. Sedangkan aku juga bisa
bingung menerka gerimu.”
“ Diam saja Pavan!
Dia tidak pernah mahu mengambil tahu. Dalam pada itu, dia bisa saja bertanyakan
dengan yang lain.” Aku rentap genggaman Pavan dari kainku dan berjalan laju.
“ Kau juga tidak
pernah bertanya padanya. Kau pengecut!”
“ Jangan lancang
Pavan. Aku ini gadis. Jika dia benar mahu hatiku, sudah dia ambil dari dulu.”
Aku kini berhenti dan menoleh ke belakang. Bercakap dengan Pavan yang sudah
ketinggalan beberapa depa jauhnya.
“ Pendirianmu
konservatif. Aku masih tidak terima dan tidak mahu kau pergi.”
“ Kau tahu apa?
Kita tidak kenal. Pasti kau juga pernah ketawa mengejek bila kau terbaca
puisi-puisiku bukan?”
“Tidak Suzan.
Aku tidak pernah mengejek.”
“ Ah..
sudahlah!. Ini bukan urusanmu. Pergi saja Pavan! Tidakkah kau punya tugas
menerbangkan debu-debu atau mendatangkan bencana beliung dimana-mana? Pergi!
Jangan datang padaku lagi!”
“ Bilang padaku,
apa yang buat dadamu bolong begitu? Paling tidak untuk memakna perpisahan ini.
Konklusi dungu dari mana yang kau ilhamkan hingga menuduh dia membuang hatimu?”
Aku duduk
memeluk lutut menghadap Pavan. Air mata dan hingus menjijikkan lagi kondisi
tubuhku. Sakit didada semakin menghiris-hiris ruang kosong yang melimpahkan
darah itu.
“ Aku seharusnya
sudah akur Pavan. Bila dia ujarkan dia bakal berhenti cuba buka pintu hatiku.
Aku harusnya sudah mengerti dengan bilangan kesepian antara kami selama ini.
Aku harusnya sudah tahu bila dia tidak sentuh langsung hati yang aku hulur.
Mungkin hatinya dia berikan pada yang lain.”
“Mungkin??” Pavan
ketawa mengejek.
“ Ya, kau bisa
ketawa, Pavan, bukan kau yang bolong di dada!”
Pavan kini mulai
menangis hiba dan terbang maju ingin mendekati. Namun aku segera berdiri dan
jalan membelakang. Aku hentikan kemaraannya dengan membuat isyarat berhenti
dengan tangan.
“ Jangan pergi
Suzan. Aku harus hantarkan puisinya siapa jika kau pergi?” Esakannya semakin
kencang, namun dia akur benhenti terbang ke arahku.
“ Kalau cuma itu
permasalahannya, pergi saja cari gadis lain yang puisinya masih belum ditemui!”
“ Tapi bagaimana
dengan kisahmu? Seharusnya berpenghujung paling tidak. Aku bakal berduka, kerna
kepergianmu ini bukan juga perpisahan, bukan juga pengkhianatan. Kau cuma pergi
mematikan diri.”
“Jadi kau tidak
mahu aku pergi cuma kerna kau mahu dongeng ini berpenghujung?”
“Iya, aku mahu
hujung ceritanya. Tinggal disini dan pergi tanyakan padanya.”
“Kau bangsat Pavan!
Kau bangsat! Aku harap kau mati di baham petir bila-bila hujan melanda! Aku
harap kau ditinggal hujan bila-bila hujan ribut menggila!”
“ Suzan..
Suzan.. Suzan.. Suzan.. Suzan.. Suzan.. Suzan.. Jangan pergi” Esaknya semakin
pilu.
Aku lari laju
menuju denai cahaya yang berwarna-warni. Badanku semakin meluluh, meninggalkan
bentuk rangka yang berlubang dan berdarah ditengah-tengah. Laju-laju aku menginjak
denai cahaya yang semakin naik ke angkasa itu. Dan aku elakkan warna-warna
kegemaranmu, kerna aku sudah tidak mahu terus-terusan rasa tidak dimahu seperti
dungu.